CARI DALAM BLOG INI

Thursday, May 7, 2009

PERBUALAN NABI DENGAN IBLIS

PERBUALAN ANTARA RASULULLAH S.A.W DENGAN IBLIS
Telah diceritakan bahawa Allah s.w.t. telah menyuruh iblis laknatullah datang kepada Nabi Muhammad s.a.w agar menjawab segala pertanyaan yang baginda tanyakan padanya. Pada suatu hari Iblis laknatullah pun datang kepada Baginda s.a.w. dengan menyerupai orang tua yang baik lagi bersih, sedang ditangannya memegang tongkat. Bertanya Rasulullah s.a.w, "Siapakah kamu ini ?" Orang tua itu menjawab, "Aku adalah iblis." "Apa maksud kamu datang berjumpa aku ?" Orang tua itu menjawab, "Allah menyuruhku datang kepadamu agar kau bertanyakan kepadaku." Baginda Rasulullah s.a.w lalu bertanya, "Hai iblis, berapa banyakkah musuhmu dari kalangan umat-umatku ?" Iblis menjawab, "Lima belas." 1. Engkau sendiri hai Muhammad. 2. Imam dan pemimpin yang adil. 3. Orang kaya yang merendah diri. 4. Pedagang yang jujur dan amanah. 5. Orang alim yang mengerjakan solat dengan khusyuk. 6. Orang Mukmin yang memberi nasihat. 7. Orang yang Mukmin yang berkasih-sayang. 8. Orang yang tetap dan cepat bertaubat. 9 Orang yang menjauhkan diri dari segala yang haram. 10. Orang Mukmin yang selalu dalam keadaan suci. 11. Orang Mukmin yang banyak bersedekah dan berderma. 12. Orang Mukmin yang baik budi dan akhlaknya. 13. Orang Mukmin yang bermanfaat kepada orang. 14. Orang yang hafal al-Quran serta selalu membacanya. 15. Orang yang berdiri melakukan solat di waktu malam sedang orang-orang lain semuanya tidur. Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya lagi, "Berapa banyakkah temanmu di kalangan umatku ?" Jawab iblis laknatullah, "Sepuluh golongan :- 1. Hakim yang tidak adil. 2. Orang kaya yang sombong. 3. Pedagang yang khianat. 4. Orang pemabuk/peminum arak. 5. Orang yang memutuskan tali persaudaraan. 6. Pemilik harta riba'. 7. Pemakan harta anak yatim. 8. Orang yang selalu lengah dalam mengerjakan solat/sering meninggalkan solat. 9. Orang yang enggan memberikan zakat/kedekut. 10. Orang yang selalu berangan-angan dan khayal dengan tidak ada faedah. Mereka semua itu adalah sahabat-sahabatku yang setia." Itulah di antara perbualan Nabi dan iblis laknatullah. Sememangnya kita maklum bahawa sesungguhnya Iblis laknatullah itu adalah musuh Allah s.w.t. dan manusia. Dari itu hendaklah kita selalu berhati-hati jangan sampai kita menjadi kawan iblis laknatullah, kerana sesiapa yang menjadi kawan iblis laknatullah bermakna menjadi musuh Allah s.w.t.. Demikianlah sebaliknya, sesiapa yang menjadi musuh iblis laknatullah bererti menjadi kawan kekasih Allah s.w.t..

KISAH BURUNG HUD

'AUJ BIN UNUQ DIBINASAKAN OLEH BURUNG HUD-HUD

'Auj bin Unuq adalah manusia yang berumur sehingga 4,500 tahun. Tinggi tubuh badannya di waktu berdiri adalah seperti ketinggian air yang dapat menenggelamkan negeri pada zaman Nabi Nuh a.s. Ketinggian air tersebut tidak dapat melebihi lututnya. Ada yang mengatakan bahawa dia tinggal di gunung. Apabila dia merasa lapar, dia akan menghulurkan tangannya ke dasar laut untuk menangkap ikan kemudian memanggangnya dengan panas matahari. Apabila dia marah atas sesebuah negeri, maka dia akan mengencingi negeri tersebut hinggalah penduduk negeri itu tenggelam di dalam air kencingnya. Apabila Nabi Musa bersama kaumnya tersesat di kebun teh, maka 'Auj bermaksud untuk membinasakan Nabi Musa bersama kaumnya itu. Kemudian 'Auj datang untuk memeriksa tempat kediaman askar Nabi Musa a.s., maka dia mendapati beberapa tempat kediaman askar Nabi Musa itu tidak jauh dari tempatnya. Kemudian dia mencabut gunung-gunung yang ada di sekitarnya dan diletakkan di atas kepalanya supaya mudah untuk dicampakkan kepada askar-askar Nabi Musa a.s. Sebelum sempat 'Auj mencampakkan gunung-gunung yang diunjung di atas kepalanya kepada askar Nabi Musa a.s, Allah s.w.t. telah mengutuskan burung hud-hud dengan membawa batu berlian dan meletakkannya di atas gunung yang dijunjung oleh 'Auj. Dengan kekuasaan Allah s.w.t., berlian tersebut menembusi gunung yang dijunjung oleh 'Auj sehinggalah sampai ke tengkuknya. 'Auj tidak sanggup menghilangkan berlian itu, akhirnya 'Auj binasa disebabkan batu berlian itu. Dikatakan bahawa ketinggian Nabi Musa a.s adalah empat puluh hasta dan panjang tongkatnya juga empat puluh hasta dan memukulkan tongkatnya kepada 'Auj tepat mengenai mata dan kakinya. Ketika itu jatuhlah 'Auj dengan kehendak Allah s.w.t. dan akhirnya tidak dapat lari daripada kematian sekalipun badannya tinggi serta memiliki kekuatan yang hebat.

UNTA MENJADI HAKIM

UNTA MENJADI HAKIM
Pada zaman Rasulullah s.a.w., ada seorang Yahudi yang menuduh orang Muslim mencuri untanya. Maka dia datangkan empat orang saksi palsu dari golongan munafik. Rasulullah s.a.w. lalu memutuskan hukum unta itu milik orang Yahudi dan memotong tangan Muslim itu sehingga orang Muslim itu kebingungan. Maka ia pun mengangkatkan kepalanya menengadah ke langit seraya berkata, "Tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu." Selanjutnya orang Muslim itu berkata kepada Rasulullah s.a.w., "Wahai Rasulullah, sungguh keputusanmu itu adalah benar, akan tetapi mintalah keterangan dari unta ini." Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepada unta itu, "Hai unta, milik siapakah engkau ini ?" Unta itu menjawab dengan kata-kata yang fasih dan terang, "Wahai Rasulullah, aku adalah milik orang Muslim ini dan sesungguhnya para saksi itu adalah dusta." Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata kepada orang Muslim itu, "Hai orang Muslim, beritahukan kepadaku, apakah yang engkau perbuat, sehingga Allah Taala menjadikan unta ini dapat bercakap perkara yang benar." Jawab orang Muslim itu, "Wahai Rasulullah, aku tidak tidur di waktu malam sehingga lebih dahulu aku membaca selawat ke atas engkau sepuluh kali." Rasulullah s.a.w bersabda, "Engkau telah selamat dari hukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga dari seksaan di akhirat nantinya dengan sebab berkatnya engkau membaca selawat untukku." Memang membaca selawat itu sangat digalakkan oleh agama sebab pahala-pahalanya sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Lagi pula boleh melindungi diri dari segala macam bencana yang menimpa, baik di dunia dan di akhirat nanti. Sebagaimana dalam kisah tadi, orang Muslim yang dituduh mencuri itu mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. melalui seekor unta yang menghakimkannya.

KUBUR BERKATA-KATA

KUBUR BERKATA-KATA

Dikisahkan bahawa sewaktu Fatimah r.a. meninggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, antara :- 1. Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a) 2. Hasan (anak Fatima r.a) 3. Husin (anak Faimah r.a) 4. Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu ? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah s.a.w." Maka berkata kubur, "Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat dariku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari aku (akan aku layan dia dengan seburuk-buruknya)." Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya :- 1. Hendaklah ia menjaga solatnya 2. Hendaklah dia bersedekah 3. Hendaklah dia membaca al-Quran 4. Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya. Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah :- 1. Jangan berdusta 2. Jangan mengkhianat 3. Jangan mengadu-domba (jangan suka mencucuk sana cucuk sini) 4. Jangan kencing sambil berdiri Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing." Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah s.w.t.. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini. Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Mungkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada Allah s.w.t. dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat Mungkar dan Nakir, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah mudah sahaja, aku boleh menghafal untuk menjawabnya." Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran. Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak mengamalkannya sebab yang akan menjawab ialah amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Quran, maka al-Quran itu akan membelanya dan begitu juga seterusnya.

SIRAH ANBIA

KISAH NABI ADAM ALAI HIS SALAM

Setelah Allah s.w.t. menciptakan bumi dengan gunung-gunungnya,laut-lautannya dan tumbuh-tumbuhannya, menciptakan langit dengan mataharinya, bulan dan bintang-bintangnya yang bergemerlapan menciptakan malaikat-malaikatnya ialah sejenis makhluk halus yangdiciptakan untuk beribadah menjadi perantara antara Zat Yang Maha Kuasa dengan hamba-hamba terutama para rasul dan nabinya maka tibalah kehendak Allah s.w.t. untuk menciptakan sejenis makhluk lain yang akan menghuni dan mengisi bumi memeliharanya menikmati tumbuh-tumbuhannya, mengelola kekayaan yang terpendam di dalamnya dan berkembang biak turun-temurun waris-mewarisi sepanjang masa yang telah ditakdirkan baginya.Kekhuatiran Para Malaikat
Para malaikat ketika diberitahukan oleh Allah s.w.t. akan kehendak-Nya menciptakan makhluk lain itu, mereka khuatir kalau-kalau kehendak Allah s.w.t. menciptakan makhluk yang lain itu, disebabkan kecuaian atau kelalaian mereka dalam ibadah dan menjalankan tugas atau kerana pelanggaran yang mereka lakukan tanpa disedari. Berkata mereka kepada Allah s.w.t.:"Wahai Tuhan kami! Buat apa Tuhan menciptakan makhluk lain selain kami, padahal kami selalu bertasbih, bertahmid, melakukan ibadah dan mengagungkan nama-Mu tanpa henti-hentinya, sedang makhluk yang Tuhan akan ciptakan dan turunkan ke bumi itu, nescaya akan bertengkar satu dengan lain, akan saling bunuh-membunuh berebutan menguasai kekayaan alam yang terlihat diatasnya dan terpendam di dalamnya, sehingga akan terjadilah kerosakan dan kehancuran di atas bumi yang Tuhan ciptakan itu."Allah s.w.t. berfirman untuk menghilangkan kekhuatiran para malaikat itu:"Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Aku sendirilah yang mengetahui hikmat penguasaan Bani Adam atas bumi-Ku. Bila Aku telah menciptakannya dan meniupkan roh kepada nya,bersujudlah kamu di hadapan makhluk baru itu sebagai penghormatan dan bukan sebagai sujud ibadah, kerana Allah s.w.t. melarang hamba-Nya beribadah kepada sesama makhluk-Nya."
Kemudian diciptakanlah Adam oleh Allah s.w.t. dari segumpal tanah liat,kering dan lumpur hitam yang berbentuk. Setelah disempurnakan bentuknya ditiupkanlah roh ciptaan Tuhan ke dalamnya dan berdirilah ia tegak menjadi manusia yang sempurna
Iblis Laknatullah Membangkang.
Iblis laknatullah membangkang dan enggan mematuhi perintah Allah s.w.t. seperti para malaikat yang lain, yang segera bersujud di hadapan Adam sebagai penghormatan bagi makhluk Allah s.w.t. yang akan diberi amanat menguasai bumi dengan segala apa yang hidup dan tumbuh di atasnya serta yang terpendam di dalamnya. Iblis laknatullah merasa dirinya lebih mulia, lebih utama dan lebih agung dari Adam, kerana ia diciptakan dari unsur api, sedang Adam dari tanah dan lumpur. Kebanggaannya dengan asal usulnya menjadikan ia sombong dan merasa rendah untuk bersujud menghormati Adam seperti para malaikat yang lain, walaupun diperintah oleh Allah s.w.t..Allah s.w.t. bertanya kepada Iblis laknatullah:"Apakah yang mencegahmu sujud menghormati sesuatu yang telah Aku ciptakan dengan tangan-Ku?"
Iblis laknatullah menjawab:"Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul dari dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya dari lumpur."Kerana kesombongan, kecongkakan dan pembangkangannya melakukan sujud yang diperintahkan, maka Allah s.w.t. menghukum Iblis laknatullah dengan mengusir dari syurga dan mengeluarkannya dari barisan malaikat dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat pada dirinya hingga hari kiamat. Di samping itu ia dinyatakan sebagai penghuni neraka.Iblis laknatullah dengan sombongnya menerima dengan baik hukuman Tuhan itu dan ia hanya mohon agar kepadanya diberi kesempatan untuk hidup kekal hingga hari kebangkitan kembali di hari kiamat. Allah s.w.t. meluluskan permohonannya dan ditangguhkanlah ia sampai hari kebangkitan, tidak berterima kasih dan bersyukur atas pemberian jaminan itu, bahkan sebaliknya ia mengancam akan menyesatkan Adam, sebagai sebab terusirnya dia dari syurga dan dikeluarkannya dari barisan malaikat, dan akan mendatangi anak-anak keturunannya dari segala sudut untuk memujuk mereka meninggalkan jalan yang lurus dan bersamanya menempuh jalan yang sesat, mengajak mereka melakukan maksiat dan hal-hal yang terlarang, menggoda mereka supaya melalaikan perintah-perintah agama dan mempengaruhi mereka agar tidak bersyukur dan beramal soleh.Kemudian Allah s.w.t. berfirman kepada Iblis laknatullah yang terkutuk itu:"Pergilah engkau bersama pengikut-pengikutmu yang semuanya akan menjadi isi neraka Jahanam dan bahan bakar neraka. Engkau tidak akan berdaya menyesatkan hamba-hamba-Ku yang telah beriman kepada Ku dengan sepenuh hatinya dan memiliki aqidah yang mantap yang tidak akan tergoyah oleh rayuanmu walaupun engkau menggunakan segala kepandaianmu menghasut dan memfitnah."
Pengetahuan Adam Tentang Nama-Nama Benda.
Allah s.w.t. hendak menghilangkan anggapan rendah para malaikat terhadap Adam dan menyakinkan mereka akan kebenaran hikmat-Nya menunjuk Adam sebagai penguasa bumi, maka diajarkanlah kepada Adam nama-nama benda yang berada di alam semesta, kemudian diperagakanlah benda-benda itu di depan para malaikat seraya: "Cubalah sebutkan bagi-Ku nama benda-benda itu, jika kamu benar merasa lebih mengetahui dan lebih mengerti dari Adam."Para malaikat tidak berdaya memenuhi tentangan Allah s.w.t. untuk menyebut nama-nama benda yang berada di depan mereka. Mereka mengakui ketidaksanggupan mereka dengan berkata: "Maha Agung Engkau! Sesungguhnya kami tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu kecuali apa yang Tuhan ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana."Adam lalu diperintahkan oleh Allah s.w.t. untuk memberitahukan nama-nama itu kepada para malaikat dan setelah diberitahukan oleh Adam, berfirmanlah Allah s.w.t.kepada mereka: "Bukankah Aku telah katakan padamu bahawa Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan."
Adam Menghuni Syurga.
Adam diberi tempat oleh Allah s.w.t. di syurga dan baginya diciptakanlah Hawa untuk mendampinginya dan menjadi teman hidupnya, menghilangkan rasa kesepiannya dan melengkapi keperluan fitrahnya untuk mengembangkan keturunan. Menurut cerita para ulamat Hawa diciptakan oleh Allah s.w.t. dari salah satu tulang rusuk Adam yang disebelah kiri diwaktu ia masih tidur sehingga ketika ia terjaga, ia melihat Hawa sudah berada di sampingnya lalu ia ditanya oleh malaikat: "Wahai Adam! Apa dan siapakah makhluk yang berada di sampingmu itu?"Berkatalah Adam: "Seorang perempuan." Sesuai dengan fitrah yang telah diilhamkan oleh Allah s.w.t. kepadanya. "Siapa namanya?" tanya malaikat lagi. "Hawa", jawab Adam. "Untuk apa Tuhan menciptakan makhluk ini?" tanya malaikat lagi. Adam menjawab: "Untuk mendampingiku, memberi kebahagian bagiku dan mengisi keperluan hidupku sesuai dengan kehendak Allah s.w.t.."Allah s.w.t. berpesan kepada Adam: "Tinggallah engkau bersama isterimu di syurga, rasakanlah kenikmatan yang berlimpah-limpah didalamnya, rasailah dan makanlah buah-buahan yang lazat yang terdapat di dalamnya sepuas hatimu dan sekehendak nasfumu. Kamu tidak akan mengalami atau merasa lapar, dahaga ataupun letih selama kamu berada di dalamnya. Akan tetapi Aku ingatkan janganlah makan buah dari pohon ini yang akan menyebabkan kamu celaka dan termasuk orang-orang yang zalim. Ketahuilah bahawa Iblis itu adalah musuhmu dan musuh isterimu, ia akan berusaha membujuk kamu dan menyeret kamu keluar dari syurga sehingga hilanglah kebahagiaan yang kamu sedang nikmat ini."
Iblis Mulai Beraksi.
Sesuai dengan ancaman yang diucapkan ketika diusir oleh Allah s.w.t. dari syurga akibat bangkangannya dan terdorong pula oleh rasa iri hati dan dengki terhadap Adam yang menjadi sebab sampai ia terkutuk dan terlaknat selama-lamanya tersingkir dari singgahsana kebesarannya. Iblis laknatullah mulai menunjukkan rancangan penyesatannya kepada Adam dan Hawa yang sedang hidup berdua di syurga yang tenteram, damai dan bahagia.Ia menyatakan kepada mereka bahawa ia adalah kawan mereka dan ingin memberi nasihat dan petunjuk untuk kebaikan dan mengekalkan kebahagiaan mereka. Segala cara dan kata-kata halus digunakan oleh Iblis laknatullah untuk mendapatkan kepercayaan Adam dan Hawa bahawa ia betul-betul jujur dalam nasihat dan petunjuknya kepada mereka. Ia membisikan kepada mereka bahwa larangan Allah s.w.t. kepada mereka memakan buah-buah yang ditunjuk itu adalah kerana dengan memakan buah itu mereka akan menjelma menjadi malaikat dan akan hidup kekal. Diulang-ulangilah bujukannya dengan menunjukkan akan harumnya bau pohon yang dilarang indah bentuk buahnya dan lazat rasanya. Sehingga pada akhirnya termakanlah bujukan yang halus itu oleh Adam dan Hawa dan dilanggarlah larangan Allah s.w.t.Allah s.w.t. mencela perbuatan mereka itu dan berfirman yang bermaksud: "Tidakkah Aku mencegah kamu mendekati pohon itu dan memakan dari buahnya dan tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa syaitan itu adalah musuhmu yang nyata."
Adam dan Hawa mendengar firman Allah s.w.t. itu sedarlah ia bahawa mereka telah terlanggar perintah Allah s.w.t. dan bahawa mereka telah melakukan suatu kesalahan dan dosa besar. Seraya menyesal berkatalah mereka: "Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri dan telah melanggar perintah-Mu kerana terkena bujukan Iblis. Ampunilah dosa kami kerana nescaya kami akan tergolong orang-orang yang rugi bila Engkau tidak mengampuni dan mengasihi kami." Adam dan Hawa Diturunkan Ke Bumi.
Allah s.w.t. telah menerima taubat Adam dan Hawa serta mengampuni perbuatan pelanggaran yang mereka telah lakukan hal mana telah melegakan dada mereka dan menghilangkan rasa sedih akibat kelalaian peringatan Allah s.w.t. tentang Iblis laknatullah sehingga terjerumus menjadi mangsa bujukan dan rayuannya yang manis namun berancun itu.Adam dan Hawa merasa tenteram kembali setelah menerima pengampunan Allah s.w.t. dan selanjutnya akan menjaga jangan sampai tertipu lagi oleh Iblis laknatullah dan akan berusaha agar pelanggaran yang telah dilakukan dan menimbulkan murka dan teguran Allah s.w.t. itu menjadi pengajaran bagi mereka berdua untuk lebih berhati-hati menghadapi tipu daya dan bujukan Iblis yang terlaknat itu. Harapan untuk tinggal terus di syurga yang telah pudar kerana perbuatan pelanggaran perintah Allah s.w.t., hidup kembali dalam hati dan fikiran Adam dan Hawa yang merasa kenikmatan dan kebahagiaan hidup mereka di syurga tidak akan terganggu oleh sesuatu dan bahawa redha Allah s.w.t. serta rahmatNya akan tetap melimpah di atas mereka untuk selama-lamanya. Akan tetapi Allah s.w.t. telah menentukan dalam takdir-Nya apa yang tidak terlintas dalam hati dan tidak terfikirkan oleh mereka.Allah s.w.t. yang telah menentukan dalam takdir-Nya bahawa bumi yang penuh dengan kekayaan untuk dikelolanya, akan dikuasai kepada manusia keturunan Adam memerintahkan Adam dan Hawa turun ke bumi sebagai benih pertama dari hamba-hambanya yang bernama manusia itu. Berfirmanlah Allah s.w.t. kepada mereka:"Turunlah kamu ke bumi sebahagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kamu dapat tinggal tetap dan hidup disana sampai waktu yang telah ditentukan."Turunlah Adam dan Hawa ke bumi menghadapi cara hidup baru yang jauh berlainan dengan hidup di syurga yang pernah dialami dan yang tidak akan berulang kembali. Mereka harus menempuh hidup di dunia yang fana ini dengan suka dan dukanya dan akan menurunkan umat manusia yang beraneka ragam sifat dan tabiatnya berbeza-beza warna kulit dan kecerdasan otaknya. Umat manusia yang akan berkelompok-kelompok menjadi suku-suku dan bangsa-bangsa di mana yang satu menjadi musuh yang lain saling bunuh-membunuh aniaya-menganianya dan tindas-menindas sehingga dari waktu ke waktu Allah s.w.t. mengutus nabi-nabi-Nya dan rasul-rasul-Nya memimpin hamba-hamba-Nya ke jalan yang lurus penuh damai kasih sayang di antara sesama manusia jalan yang menuju kepada redha-Nya dan kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat. Kisah Adam dalam Al-Quran.
Al-Quran menceritakan kisah Adam dalam beberapa surah di antaranya surah Al-Baqarah ayat 30 sehingga ayat 38 dan surah Al-A'raaf ayat 11 sehingga 25
Pengajaran Yang Terdapat Dari Kisah Adam.
Bahawasanya hikmah yang terkandung dalam perintah-perintah dan larangan-larangan Allah s.w.t. dan dalam apa yang diciptakannya kadangkala tidak atau belum dapat dicapai oleh otak manusia bahkan oleh makhluk-Nya yang terdekat sebagaimana telah dialami oleh para malaikat tatkala diberitahu bahawa Allah s.w.t. akan menciptakan manusia - keturunan Adam untuk menjadi khalifah-Nya di bumi sehingga mereka seakan-akan berkeberatan dan bertanya-tanya mengapa dan untuk apa Allah s.w.t. menciptakan jenis makhluk lain daripada mereka yang sudah patuh rajin beribadat, bertasbih, bertahmid dan mengagungkan nama-Nya.Bahawasanya manusia walaupun ia telah dikurniakan kecergasan berfikir dan kekuatan fizikal dan mental ia tetap mempunyai beberapa kelemahan pada dirinya seperti sifat lalai, lupa dan khilaf. Hal mana telah terjadi pada diri Nabi Adam yang walaupun ia telah menjadi manusia yang sempurna dan dikurniakan kedudukan yang istimewa di syurga ia tetap tidak terhindar dari sifat-sifat manusia yang lemah itu. Ia telah lupa dan melalaikan peringatan Allah s.w.t. kepadanya tentang pohon terlarang dan tentang Iblis laknatullah yang menjadi musuhnya dan musuh seluruh keturunannya, sehingga terperangkap ke dalam tipu daya dan terjadilah pelanggaran pertama yang dilakukan oleh manusia terhadap larangan Allah s.w.t..Bahawasanya seseorang yang telah terlanjur melakukan maksiat dan berbuat dosa tidaklah ia sepatutnya berputus asa dari rahmat dan ampunan Allah s.w.t. asalkan ia sedar akan kesalahannya dan bertaubat tidak akan melakukannya kembali. Rahmat Allah s.w.t. dan maghfirah-Nya dapat mencakupi segala dosa yang diperbuat oleh hamba-Nya kecuali syirik, walau bagaimana pun besar dosa itu asalkan diikuti dengan kesedaran bertaubat dan pengakuan kesalahan. Sifat sombong dan congkak selalu membawa akibat kerugian dan kebinasaan. Lihatlah Iblis laknatullah yang turun dari singgahsananya dilucutkan kedudukannya sebagai seorang malaikat dan diusir oleh Allah s.w.t. dari syurga dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat kepada dirinya hingga hari Kiamat kerana kesombongannya dan kebanggaaannya dengan asal-usulnya sehingga ia menganggap dan memandang rendah kepada Nabi Adam dan menolak untuk sujud menghormatinya walaupun diperintahkan oleh Allah s.w.t.

WANITA DAN KERJAYA

Wanita, Aurat, Kerjaya & Suami Nusyuz
Oleh
Ust Hj Zaharuddin Abd Rahman
http://zaharuddin.net/
"Ustaz mengapa kami kaum wanita kena tutup aurat banyak dan sukar, tapi lelaki sikit aja. Adil ke begitu ustaz?" Tanya seorang wanita yang bertitle PhD dalam bidang ekonomi kepada saya.
"Dr tahu tak berapa jarak matahari ke bumi? " Tanya saya membalas.
"Emm, tak ingat la ustaz, kenapa pulak? Bagaimana soalan saya tadi" Pakar ekonomi ini cuba mengingatkan saya.
"Cuba Dr bayangkan, kalau jarak antara matahari dan bumi ini tiba-tiba berubah jadi seinchi rapat, apa agaknya akan jadi kat kita?" Soal saya mengajaknya berfikir.
"Rasanya jika ikut teorinya, mesti hancur lebur dan cair penduduk bumi kot, ustaz" katanya.
"Jadinya, Dr setuju tak kalau saya kata bahawa Allah SWT begitu mahir dan amat tepat dalam seluruh urusannya, jika tidak..sudah tentu kita tak boleh hidup di dunia ni, bumi asyik berlaga, siang malam tak tentu hala dan tumbuhan semuanya kelam kabut tumbuhnya" Jelas saya sedikit panjang.

"Benar ustaz, saya amat bersetuju tentang Allah maha mengetahui dan berkuasa" katanya sambil mengangguk.
"Jika demikian, mengapa Dr boleh timbul rasa sangsi tentang keadilan dan kebijaksanaan Allah dalam mengarahkan wanita menutup aurat begini, dan lelaki begitu?" Saya cuba membawa semula kepada topik awalnya.
"Hmmm, ye tak ye jugak ustaz kan, betul-betul tak patut saya rasa begitu, astahgfirullahah azim " sambil menggeleng kepalanya perlahan.
Bagi sesetengah orang yang bijak, mungkin fakta ringkas saya tadi sudah cukup untuk memberi faham kepada jiwa dan hati. Walau bagaimanapun, ia mungkin sekali tidak berkesan buat setengah yang lain.
Jawapan lazim yang kerap digunakan oleh rakan-rakan saya apabila ditanya soalan sebegini adalah kembali kepada pengertian adil dalam Islam. Iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Contohnya ‘favorite'nya pula, menyebut "adil tak meletakkan kupiah di atas kepala lutut?."
Benar dan saya bersetuju itulah takrif adil tersebut, iaitu "meletakkan seseuatu pada tempatnya", lalu tak semua benda patut kita letakkan pada tahap yang sama, seperti kita mengharapkan anak kita berumur 14 bulan untuk mengerti bahayanya memakan semua benda kecil yang dijumpainya di atas lantai.
"EEee, budak ni tak reti ke benda-benda ni kotor? " tempik seorang ibu kepada anaknya kerana memasukkan dalam mulutnya kotoran di lantai dapur rumahnya.
Saya yakin, kita semua faham bahawa tidak adil untuk kita memarahinya kerana ia baru berusia 14 bulan. Berbeza jika ia berusia 14 tahun dan cergas aqalnya tetapi masih memungut dan makan semua yang dijumpainya di atas lantai. Itu sememangnya patut dikesali.
Dari sudut Islam, kita harus memahami bahawa Allah SWT maha bijak dalam mengatur hukum di atas dunia ini. Apa yang memudaratkan manusia secara tersurat dan tersirat akan diletakkan had dan batasan untuk dikurangi atau dijauhi. Apa yang bermanfaat dan baik sahaja yang akan digalakkan dan dibenarkan.
Firman Allah SWT :
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ
Ertinya : "Mereka menanyakan kepadamu: ""Apakah yang dihalalkan bagi mereka?"" Katakanlah: ""Dihalalkan bagimu yang baik-baik" ( Al-Maidah : 4)
Justeru, apa yang ‘neutral' atau ‘harus' hukumnya akan dibiarkan terbuka (tanpa sebarang larangan) sebagai rahmat dan kemudahan kepada umat manusia. Fakta ini datang dari sabda Nabi SAW :
إن الله فرض فرائض فلا تضيعوها وحدّ حدوداً فلا تعتدوها وحرّم أشياء فلا تنتهكوها وسكت عن أشياء رحمة بكم غير نسيان فلا تسألوا عنها
Ertinya : "Sesungguhnya Allah telah memfardhukan pelbagai perkaar wajib, maka janganlah kamu mengabaikannya, dan telah menetapkan had bagi beberapa keharusan, maka janganlah kamu melewatinya, dan juga telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu mencerobihinya, dan juga telah mendiamkan hukum bagi sesuatu perkara, sebagai rahmat kemudahan buat kamu dan bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu menyusahkan dirimu dengan mencari hukumannya"
( Riwayat Ad-Dar Qutni, ; Ad-Dar Qutni : Sohih, An-Nawawi : Hasan )



Perempuan Lebih Sukar?
Pernah sekali di Brunei, selepas tamat kursus yang saya kendalikan, datang seorang peserta wanita lalu berkata :
"Tapi ustaz, orang lelaki mudah le dapat tutup aurat dengan sempurna, sebab depa senang, sikir benor auratnya". Tegasnya.
"Jika puan rasa susah, tapi buat juga kerana Allah, lagi banyak pahala puan dapat, untung orang perempuan, tutup je aurat terus dapat pahala setiap saat, berganda dari pahala orang lelaki kerana mereka tidak berapa sukar" jawap saya menarik minatnya.
"eh, betul ke ni ustaz" sambil tersenyum luas.
Berminat betul nampaknya dia kali ini sehingga nampak jelas raut wajahnya ingin penjelasan lanjut.
"Benar, InshaAllah.." Kata saya.
Kata saya ini berdasarkan satu hadith yang menyebut
إن لك من الأجر على قدر نصبك ونفقتك
Ertinya : "Sesungguhnya bagi kamu ganjaran pahala berdasarkan kepada kadar keletihan dan belanja ikhlas kamu" (Riwayat Ad-Dar Qutni dan Al-Hakim)
Menurut Imam Ibn Hajar di dalam Fath al-bari menjelaskan bahawa hadith ini pernah disebutkan oleh Nabi SAW kepada Aisyah r.a berkenaan umrah yang dilakukan oleh Aisyah. Dimana Nabi SAW diriwayatkan menyebut :
إنما أجرك في عمرتك على قدر نفقتك
Ertinya : "Sesungguhnya ganjaran pahalamu (wahai Aisyah) ketika umrahmu ini adalah berdasarkan kadar kesukaran dan wang yang dibelanjakan"
Imam An-Nawawi pula berkata :-
الحديث أن الثواب والفضل في العبادة يكثر بكثرة النصب والنفقة
Ertinya : "Zahir hadith ini menunjukkan ganjaran dan pahala dalam ibadah akan bertambah dengan bertambahnya keletihan dan belanja yang dikeluarkan"
Bagaimanapun ulama sepakat menyatakan bahawa konsep pahala lebih besar apabila amalan lebih sukar dan letih" ini, tidaklah terpakai di dalam semua keadaan, kerana terdapat beberapa jenis ibadat yang ringan tetapi mempunyai pahala yang amat besar, seperti ucapan zikir tertentu yang disebut oleh Nabi SAW, demikian juga berbezanya solat tahajjud di bulan biasa dan di bulan Ramadhan. Kelebihan solat sunat Witr atas solat sunat tasbih yang jauh lebih sukar dan lain-lain. Demikian juga yan ditegaskan oleh Imam Izzudin Abd Salam ( Qawaid al-Ahkam fi Masalihil Anam)
Lelaki Duduk Rumah Wanita Kerja?
Yakinilah bahawa Allah SWT maha adil dalam menentukan tanggungjawab kepada lelaki dan wanita. Sememangnya Allah SWT memerintahkan kaum Hawa untuk menutup auratnya dengan begitu luas; ia bersesuaian dengan hukum Islam yang asal iaitu kerja mencari nafqah buat keluarga adalah merupakan tanggungjawab asas kaum lelaki yang disebut oleh Allah sebagai salah satu faktor "qiwamah"nya. Malah terdapat pandangan yang menyatakan lelaki yang gagal menyempurnakan tanggungjawab ini bukan kerana uzur adalah suami yang NUSYUZ.
Ini bermakna jika menurut hukum asal dalam Islam, haram hukumnya bagi lelaki yang sudah berumah tangga (tanpa sebab yang diktiraf Islam) tidak bekerja mencari nafqah, wanita tidak pula diharamkan untuk bekejra jika menjaga hukum yang ditentukan Islam. Jika wanita bekerja, pendapatan itu adalah milik mereka dan tiada sebarang tanggung jawab untuk memberi makan kepada suami kecuali atas dasar ihsan sahaja.
Adakah lelaki yang sudi memakan belas ihsan isteri? sedangkan lelaki dipenuhi dengan ego yang cukup tinggi secara puratanya. Saya sebut ihsan kerana ia BUKAN TANGGUNGJAWAB ISTERI untuk memberikan suaminya yang sihat tubuh badan untuk makan dan pakaian.!
Lelaki secara umumnya berbanding wanita, diberikan oleh Allah SWT lebih kemampuan fizikal, mental dan kemudahan dalam menutup aurat agar mudah ia ke hulu dan ke hilir mencari nafqah buat keluarganya. (Fatawa Az-Zarqa, hlm 290, cet Dar Al-Qalam)
"Habis ustaz nak orang perempuan duk rumah je la ni?" desak seorang wanita, sambil menjeling saya dengan jelingan kurang puas hati.
"jawapannya bukan semudah itu" jawab saya.
"Begini, saya kata ikut hukum asal yang Allah letak memang begitu, cuba bayangkan betapa sukarnya wanita bekerja hari ini untuk melaksanakan tugasnya dalam keadaan ‘senggugut', sakit perut, mengandung dan bersalin. Sekiranya ia telah menopos pula, sukarnya tiba-tiba perlu ke sana sini seorang diri, bermesyuarat bersama lelaki berdua-duaan dan sebagainya"
"Mereka sepatutnya lebih dimuliakan dengan diberi kerehatan cukup di rumah sambil membina pimpinan dan generasi soleh masa depan, iaitu anaknya dan keluarganya" Ulas saya, walaupun saya tahu, isu ini amat panjang untuk dibincang serta amat sukar untuk memuaskan hati kaum wanita moden zaman ini.


Nabi SAW bersabda :
لأن تصلى المرأة في بيتها خير من أن يصلى في حجرتها , ولأن تصلى في حجرتها , خير من أن تصلى في الدار , ولأن تصلى في الدار خير من أن تصلى في المسجد
Ertinya : "Bagi seorang wanita untuk menunaikan solat di tempat tidurnya adalah lebih baik dari menunaikannya di biliknya, dan menunaikannya di biliknya lebih baik dari menunaikannya di rumahnya, dan menunaikannya di rumahnya lebih baik dari menunaikannya di masjid" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad, 6/371 ; Ibn Athir : Hasan 11/200 )
Hadith di atas jelas membuktikan betapa tempat yang sebaiknya bagi wanita untuk mendapatkan pahala terbesar adalah di rumahnya. Manakala, bidang institusi keluarga, pendidikan anak dan menjaga keamanan rumah tangga WAJIB TIDAK DIPANDANG REMEH, malah ia sebenarnya amat sukar, malah ia menyamai kepimpinan sebuah negara.
Pandangan remeh terhadapnya adalah kesilapan utama wanita moden zaman kini hingga terlalu berhasrat menjaga syarikat dan berbakti kepada negara sedangkan ; mendidik anak-anak dengan cemerlang adalah sumbangan terhebat kaum wanita buat Negara yang tidak mampu disaingi sama sekali oleh kaum lelaki. Wanita dikira silap apabila meletakkan 'standard' dan 'silibus' kejayaan lelaki (yang ditentukan Allah tentunya) sebagai 'standard' kejayaannya juga. Sedangkan, 'silibus' dan 'standard' kejayaan wanita adalah tidak sama dengan lelaki dalam banyak hal, saya tidak nafikan ada yang sama tetapi bukan dalam hal kerjaya.
Akibatnya berbondong wanita bekerja kerana menggangapnya sebagai satu KEJAYAAN dan kemuliaan baginya. Apabila kaum wanita hari ini didedahkan dengan pelbagai hadith Nabi berkenaan adab Islam yang perlu dituruti olehnya. Ramai yang merasakan ia seolah-olah mustahil dan tidak ‘up to date' sehinggakan dirasakan Nabi SAW tidak tepat dalam kata-katanya. Lebih buruk, adalah dituduhnya Nabi SAW bersikap ‘bias' atau berat kepada kaum lelaki, kerana baginda sendiri adalah lelaki. Lebih serius dari itu, yang menuduh Islam sudah ‘out dated'. La hawala wal quwwata Illa Billah.
Keperluan Wanita Bekerja & Anak Lelaki
Siti Khadijah juga adalah peniaga yang berjaya, tapi adakah sudah ditinjau kaedah beliau berjaya? Adakah beliau masih aktif berniaga selepas Nabi dilantik menjadi Rasul? Adakah disedari tatkala itu Islam belum disempurnakan kerana wahyu masih turun sedikit demi sedikit. Adakah Aisyah dan isteri Nabi yang lain berniaga? Adakah sahabat wanita berniaga dan meninggalkan suaminya di rumah?
"ala ustaz, suasana kan dah berubah" Kata wanita tentunya.
"baiklah, tapi ada beberapa displin hukum bagi wanita diluar rumah, tanggung jawab asas terhadap suami yang tidak berubah sehingga kiamat, sudah dijaga?" Tanya saya
Saya tidak menafikan keperluan wanita untuk bekerja hari ini, ia adalah satu fenomena yang sudah terlewat dan hampir tidak boleh untuk dielakkan. Namun, pandangan peribadi saya menyatakan, keperluan wanita untuk bekerja timbul hari ini adalah apabila timbul masalah kekurangan kaum lelaki yang berkemampuan untuk menjalankan semua tugasan yang sepatutnya dijalankan oleh mereka di luar rumah.
Walaubagaimanapun, adakah kita sedar antara punca kelemahan anak-anak lelaki dalam hal ini antaranya berpunca dari rumahnya ?.
"habis anak perempuan kenapa boleh berjaya pulak, sedangkan dari rumah yang sama?" mungkin itu yang akan dibalas oleh wanita kepada saya.
Pernahkah anda mempunyai anak lelaki ? Bagi yang pernah, saya kira perbezaan dalam menumpukan perhatian dan penjagaan anak lelaki sejak kecil adalah ketara berbanding kanak-kanak wanita.
Hasilnya, keagresifan anak-anak lelaki memerlukan lebih didikan dan tumpuan, tanpa tumpuan sebaiknya, anak lelaki berpeluang untuk menjadi kaki buli di sekolah, malas belajar, bermain lebih dari belajar, perosak anak wanita orang lain dan akhirnya mendapat ijazah rempitan di atas jalan raya dan dadah di pusat serenti. Nauzubillah.
Ia berbeza dengan anak wanita yang secara umumnya lebih mudah dibentuk ketika kecil.
Kerana itu, rumah atau pendidik di rumah yang terbaik adalah seorang IBU. Pendidikan di rumah teramat penting bagi mencorakkan sikap dan sifat anak-anak di hari kemudian, terutamanya kemampuan anak lelaki. Jangan harapkan lelaki untuk bijak mendidik anak mereka di rumah, secara UMUMnya, serba serbi dan sifat naluri lelaki memang kurang mampu menjadi pendidik anak di rumah dengan berkesan. Saya sebut secara umum tanpa menafikan ada yang berjaya juga.
Kelembutan & Kasih Yang Luntur
Apabila wanita yang mempunyai ciri hebat tadi menggunakan tenaga fitrahnya untuk mentadbir syarikat dan luar rumah, maka sudah pasti jarang yang mampu memberikan perhatian cukup kepada anak di rumah.
Suami tidak banyak boleh diharapkan dalam hal ini kerana sifat semulajadi mereka. Saya bukan ingin sentiasa memberi alasan, "sifat semulajadi" dan "fitrah"; tidak dinafikan ia boleh diubah dan dilatih, tetapi ia bakal gagal berfungsi sebagaimana yang dikehendaki walau sehebat manapun 'adjustment' dan 'latihan' yang cuba dilakukan. Malah ia mungkin boleh lebih memburukkan keadaan, seumpama memaksa kaum lelaki menjadi 'ballet dancer', dia mungkin berjaya dengan dedikasi latihan, tapi akhirnya ia menjadi 'lelaki lembut' yang bertentangan dengan kehendak Islam.
Anak lelaki tidak mendapat perhatian, kasih dan tumpuan secukupnya sejak kecil. Ia akan mengakibatkan berterusannya kekurangan tenaga lelaki yang mahir dan rajin di dalam industri pekerjaan, dalam masa yang sama pula peranan wanita yang lebih mudah dibentuk sejak kecil dan rajin, pasti terkehadapan. Lalu berbondong-bondonglah kaum wanita di tawar bekerja.
Di ketika itulah timbulnya isu, sukarnya wanita untuk menjaga auratnya semasa ia bekerja, ke sana ke sini, bermesyuarat di sana sini. Walhal, Allah SWT sememangnya tidak memperuntukannya untuk kaum wanita terlalu sibuk dan terbuka sedemikian. Malah juga tidak begitu tepat menurut fizikal dan mentalnya. Kemantapan mental, ketabahan sabarnya, kelembutannya pada hakikatnya adalah khas untuk anak-anaknya demi melahirkan keluarga, masyarakat dan Negara yang dipimpin oleh individu yang cukup kasih saying ibunya. Malangnya, sifat lembut, taat, sabar dan kehebatan 'pshcology' itu telah dihabiskan dan digunakan kepada kerjaya, ‘boss' dan kakitangan yang lain. Tinggallah yang 'hampas' dan sisa buat anak-anaknya dan suaminya mungkin.
Kaum lelaki secara purata sememangnya agak kurang mampu untuk bersabar dengan tangisan anak dan karenah mereka. Lalu dihantarlah anak-anak ini ke pusat penjagaan kanak-kanak. Kesan jangkan panjangnya, akan lahir anak-anak lelaki yang tidak ‘menjadi' akibat dididik oleh individu yang tidak professional lagi melepas batuk di tangga. Iaitu di kebanyakan TASKA yang menghimpunkan berpuluh kanak-kanak sekaligus dengan 3-4 orang wanita muda bujang sebagai pendidiknya. Mampukah anak-anak dididik dengan berkesan dalam suasana begini.?
Wanita dan Wangian Di Tempat Kerja
Antara kesilapan kerap yang dilakukan oleh kaum wanita apabila sudah keluar bekerja hari ini adalah berwangian dengan pelbagai jenis ‘perfume' sewaktu keluar dari rumahnya.
" Ala ustaz, takkan ustaz nak kami busuk ustaz" Tanya seorang wanita kepada saya.
Busuk atau tidak itu adalah bergantung kepada sikap kebersihan seseorang. Diharuskan wanita memakai sabun ketika mandi, dan bauannya yang seidkit juga harus. Bagaimanapun, yang menjadi masalah kini adalah yang bergeluman dengan wangian, sehinggakan 30 meter jarak darinya pun sudah dapat dihidu baunya.
Nabi SAW mengingatkan kaum wanita dengan sabdanya :
أيما امرأة استعطرت , فمرت على قوم ليجدوا ريحها فهي زانية , وكل عين رأت زانية
Ertinya : "Mana-mana wanita yang berwangian dan kemudian lalu dikhalayak lelaki bagi menarik lelaki dengan wangiannya, maka ia adalah seperti wanita penzina, dan setiap mata (lelaki) yang (tertarik lalu) memandangkan adalah mata yang berzina" ( Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Albani : Hasan Sohih)
Tahukah kaum wanita bahawa lelaki normal mudah terangsang dan naik syahwatnya apabila menghidu bauan wangi si wanita?
"Tapi memang itu tujuan sebahagian mereka pakai wangian" Kata seorang wanita.
Jika itulah tujuannya, ia harus berdepan dengan seghala masalah dan bahaya dari kaum lelaki yang buas, ketika itu...janganlah ia marahkan lelaki tersebut.
Apabila sudah bekerja juga, banyak aurat yang terbuka di sana sini dengan hujjah ‘panas', sukar nak jaga, sukar nak bergerak, permintaan boss dan syarikat, ‘untuk nampak elegan' , supaya tak nampak macam mayat berjalan dan lain-lain lagi. Akhirnya dikorbanan hukum dan akhiratnya UNTUK DUNIANYA. Amat simpati saya terhadap kaum hawa sebegini. Allahul Musta'an.

Nabi SAW pernah bersabda :
ما من امرأة تضع ثيابها في غير بيت زوجها إلا هتكت الستر بينها وبين ربها
Ertinya : Tiada seorang wanita pun yang membuka auratnya (pakaiannya) di rumah atau tempat selain rumah suaminya (atau ayahnya tanpa kewujudan orang luar) kecuali dia telah merempuh tabir (sempadan yang digariskan) di antaranya dan tuhannya" (Riwayat Ahmad, 6/301 ; Albani : Sohih)
Komen Pedas
Mungkin ada wanita yang akan berkata :
"Apa le ustaz ni, orang sedang cerita benda besar iaitu bab sumbangan wanita, tiba-tiba dia sibuk ulas benda-benda kecil tentang aurat pula, tak berkembang pemikiran langsung"
Saya kira, kata-kata begini perkara biasa bagi orang yang telah tersemat dunia dalam hatinya, sama macam orang yang sudah berjaya di dunia perniagaan, tiba-tiba dikingatkan tentang halal haram. Pastinya melenting dan memarahi orang yang mengingat sambil dicop 'ketinggalan' zaman, otak kuno dan lain-lain.
Pandangan rendah kerap diletakkan kepada isu-isu keagamaan, ia juga dipandang sebagai isu remeh temeh menurut akal manusia yang rosak. Aqal akan mengikut jalan yang betul bila bertpatan dengan kehendak Allah SWT. Pernah disebut sikap merendah sebarang perbincangan isu agama bagi mereka yang di kemuncak kejayaan dunia sebagai berikut : -
أَن كَانَ ذَا مَالٍ وَبَنِينَ , إِذَا تُتْلَى عَلَيْهِ آيَاتُنَا قَالَ أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ
Ertinya : Kerana dia mempunyai (banyak) harta dan anak, lalu apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, ia berkata: ""(Ini adalah) dongeng-dongengan orang-orang dahulu kala.( Al-Qalam : 14-15 )
Nasihat Penghujung
Fikirlah tentang kehidupan menurut cara, priority dan kaedah yang ditunjukkan Allah dan RasulNya. Akhir kata ; Saya tidak sesekali anti-wanita bekerja, sekadar memberikan beberapa sudut pandang agar sama-sama kita berfikir sahaja. Saya juga tidak meletakkan kesalahan kepada wanita, mereka perlu terus rajin dan maju dalam pendidikan mereka. Cuma harapan saya mereka jangan lupa 'silibus' kejayaan mereka berbeza dengan lelaki dalam beberapa hal. Pelajarilah..
Wanita yang terbaik adalah Maryam, Fatimah dan Khadijah...pelajarilah tentang mereka bagaimana untuk mendapatkan hidup indah di akhirat yang kekal buat selamanya. Ameen..

Debat Golongan Anti Hadis

Debat Tudung Muslimah: Bidasan Terhadap Raja Petra Malaysiatoday (Golongan Anti Hadis )
(versi bahasa malaysia)
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
http://zaharuddin.net/
(Artikel asal saya dapati daripada http://www.zaharuddin.net/ untuk perkongsian)

Tulisan ini adalah hujah balas kepada Raja Petra Kamaruddin dan rakan seangkatan dengannya (anti hadis dan Islam Liberal) berkenaan aurat wanita Muslim di dalam blog popularnya (Malaysia Today). Sumber

RAKAN RAJA PETRA MENULIS:
Di dalam artikel tersebut ada ayat yg mengatakan: "Nampaknya, tudung hanyalah di "kurniakan" kepada isteri-isteri Nabi dan bukan ke atas semua wanita..." Jadi saya telah melihat ke dalam Al-Quran dan menjumpai beberapa benda.
1) "Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita Mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu lebih baik, supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab: 59)
Komen: Pertamanya, lihat maksud ayat "supaya mereka boleh dikenali dan tidak diganggu". Ini bermakna sekurang-kurangnya, bahagian muka mesti boleh dilihat. Adalah menjadi kesalahan utk mengatakan kaum perempuan lain di masa itu (bukan Arab, Yahudi, Kristian) tidak memakai tudung. Sebenarnya, kaum perempuan Yahudi dan Kristian memakai tudung yg lebih konservatif drpd wanita-wanita Muslim.
Menutup badan juga adalah kemestian bagi kaum lelaki dan wanita yg tinggal di padang pasir. Ia tidak ada kaitan dgn mana-mana agama. Jadi apabila ayat tersebut menyatakan "supaya mereka boleh dikenali" ia sebenarnya bermaksud kaum wanita tidak perlu menutup muka atau kepala mereka sehingga tidak boleh dibezakan mereka dgn kaum perempuan Kristian dan Yahudi yg juga memakai tudung. Ini bermakna, tidak ada langsung perkara memakai tudung untuk menutup kepala dan muka.
Terjemahan Surah Al-Ahzab ayat ke 59 secara umum:
Ya ayyuhan nabi : Wahai Nabi
qul li-azwajika wabanaatika : beritahulah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu
wa nisaa i mu'mineena : dan wanita-wanita yang beriman
yudneena : untuk memanjangkan
Alayhinna : ke atasnya
min jalabeebihinna : daripada pakaian/tudung.
KOMEN UZAR
Malangnya, anda telah tersalah-tafsir ayat di atas dan memahaminya di luar konteks sebenar, saya kira ia adalah kerana anda tidak meneliti seluruh struktur ayat tersebut.
Realitinya, sebagai hamba Allah SWT dan pengikut Rasulullah SAW, kita diajar untuk selalu kembali kepada Al-Quran dan Al-Hadith untuk mendapatkan kepastian terhadap hukum sesuatu perkara. Berkenaan topik ini, Allah SWT Berfirman:-

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
"Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita Mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu lebih baik, supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab: 59)
Ulama telah bersepakat bahaya setiap ayat yang diturunkan kepada Nabi kita Muhammad S.A.W juga adalah ditujukan kepada setiap Muslim melainkan jika berlainan disampaikan oleh Baginda S.A.W melalui Hadith atau ayat-ayat Quran yang lain. Contohnya: Nabi mempunyai lebih dari 4 orang isteri dalam satu-satu masa, ianya dipanggil "Khususiyat Anbiya" yang tidak dibenarkan untuk diikut oleh umat Muhammad kerana atas ketentuan khusus oleh Allah SWT untuk Nabi beserta dengan sebab-sebab yang lain.
TIDAK TERHAD KEPADA ISTERI NABI SAHAJA
Dari itu, dalam perkara ini, menutup aurat termasuklah kepala, rambut, leher dan dada adalah satu perintah yang bukan hanya terhad kepada isteri-isteri Nabi, tetapi juga kepada seluruh kaum wanita Muslim. Ianya bukanlah hanya budaya bangsa Arab yang tinggal di padang pasir yang berdebu, tetapi adalah suatu perintah agama yang khusus. Malah kita dapat melihat bagaimana Allah swt mengarahkan Nabi untuk menyampaikan arahan menutup aurat ini kepada seluruh wanita yang beriman sebagaimana firman Allah :-
وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ
Yang bermaksud: "Wanita-wanita yang beriman"
Oleh itu sesiapa sahaja yang mengaku Muslim lagi mukmin, wajiblah mereka tunduk dan patuh serta mentaati perintah Allah sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat tadi.
Definisi jilbab yang disebut di dalam ayat tadi adalah pakaian yang dipakai oleh kaum wanita (sama seperti baju kurung) untuk menutup badan mereka. Syeikh Dr Yusof Al-Qardawi menerangkan bahawa di zaman Jahiliyah, apabila segelintir wanita keluar dari rumah, mereka gemar menunjuk-nunjuk sebahagian kecantikan mereka seperti dada, leher dan rambut sehingga mereka diganggu oleh lelaki-lelaki yang gemar melakukan zina.
Kemudian, ayat di atas diturunkan memerintahkan wanita-wanita Muslim untuk memanjangkan (beerti dari bahagian atas ke bahagian dada dan bukannya hanya di bahagian dada sahaja) jilbab mereka supaya menutup bahagian-bahagian badan yang boleh mendatangkan fitnah. Dengan cara ini, mereka akan dikenali sebagai wanita suci, mulia dan bersih (‘afifah) dan menepati ciri wanita Muslim sebenar. Jadi, dengan demikian mereka akan dikenali sebagai bukan kumpulan wanita murahan yang boleh dipermain dan diganggu maruahnya.

Ayat di atas menunjukkan bahawa menutup aurat itu adalah lambang atau tanda seorang Muslim. Allah SWT juga Berfirman:
وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ
"Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syi'ar-syi'ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati." (Al-Haj : 32)
Oleh itu, sebab utama (‘illah) untuk perintah di atas adalah untuk mencegah wanita-wanita Muslim daripada diganggu lelaki-lelaki jahat. Pakaian-pakaian yang mendedahkan kecantikan wanita atau cara jalan atau percakapan yang menggoda sudah tentu akan menaikkan nafsu syahwat kaum lelaki. Kelakuan begini akan mengundang kaum lelaki untuk berfikiran jahat dan mencabul. (Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit olahan)

WANITA YAHUDI DAN KRISTIAN BERTUDUNG, MAKA MUSLIMAH PERLU BUKA TUDUNG ?
Adalah SALAH juga untuk mendakwa bahawa kononnya erti dari ayat iaitu "supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, " membawa erti bahawa bahagian kepala, rambut dan muka mesti didedahkan bagi memperbezakan antara wanita Islam dan wanita kristian dan Yahudi yang juga kononnya bertudung (sebagaimana dakwa rakan Raja Petra dan dipersetujuinya).
Saya mengatakannya salah adalah kerana sebab berikut :-
Pertama: Adakah logik untuk mengatakan kita hanya boleh mengenali seseorang wanita dengan melihat wajahnya dan rambutnya? Sudah tentu tidak, kita boleh mengenali mereka dengan pelbagai cara, sama ada dengan mendengar suaranya atau perkara-perkara lain selain dari wajahnya.
Kedua: Sebenarnya kebanyakan wanita-wanita Jahiliyah TIDAK BERGAMA KRISTIAN MAHUPUN YAHUDI, mereka tidak memakai tudung sama sekali dan sebahagian mereka memakai tudung berpandu kepada hawa nafsu dan kesukaan mereka, ini menjadikan tudung mereka sama sekali tidak menyerupai tudung wanita Islam. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 3/285).
WANITA JAHILIYYAH TIDAK BERTUDUNG!
Perihal keadaan wanita Jahilyyah disebut sifat mereka di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Aby Hurairah dimana Rasulullah SAW bersada:
"Dua golongan penghuni neraka yang tidak aku nampak: (1) manusia yang mengibaskan tali cemeti seperti ekor kerbau pada mereka dan mereka akan memukul manusia yang lain (pemerintah yang zalim); (2) perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang condong (pada kejahatan) dan menarik orang lain condong kepadanya. Kepala mereka akan jadi seperti bonggol unta ‘bukhtun' yang condong kepada suatu arah. Mereka tidak akan masuk Syurga dan mereka tidak akan cium bau Syurga sedangkan bau Syurga itu boleh dihidu daripada jarak-jarak yang tertentu" (Riwayat Muslim, Sohih).
Wanita-wanita JAHILIYAH dikatakan memakai pakaian tetapi masih berbogel kerana mereka memakai baju tetapi tidak menutup aurat kerana baju tersebut adalah nipis (boleh ditembusi pandangan) dan mendedahkan tubuh mereka; seperti banyaknya pakaian wanita hari ini. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qardawi)
‘Bukhtun' di dalam hadith di atas adalah sejenis unta yang mempunyai bonggol yang besar. Rambut wanita menyerupai bonggol unta tersebut apabila diikat dan disanggul di atas kepala.
Semua sabdaan Nabi ini membuktikan perempuan-perempuan Jahiliyah tidak menutup kepala dan rambut mereka. Manakala wanita Kristian dan Yahudi yang didakwa memakai tudung seperti tudung Islam oleh rakan Raja Petra itu, saya kira adalah lebih dibawakan bukti dari kitab Injil atau Taurat.
Selain itu, apakah yang membuatkan anda terlalu pasti bahawa bertudung pakaian sebenar perempuan Kristian di Makkah dan Madinah di waktu itu? Golongan Yahudi pula terlalu sedikit di Madinah untuk diambil kira dan kita juga tidak tahu secara sohih jenis tudung mereka.
Ada segolongan manusia yang cuba menyokong idea mereka dengan membawakan gambar-gambar ‘tudung' Yahudi dan Kristian, yang diambil dari wikipedia dan sumber-sumber yang lain.
Saya katakan, tunjukkanlah pada kami ayat di dalam Injil dan Taurat yang mendefinasikan ‘tudung' Kristian dan Yahudi, yang tanpanya, gambar-gambar yang anda bawakan adalah tidak mencukupi sama sekali, sia-sia dan tidak boleh dirujuk langsung. Sekali lagi, tunjukkan ayat-ayat Injil dan Taurah yang sebenar.
Sekalipun jika anda mampu membawakan perintah-perintah menutup kepala bagi wanita Kritsian dan Yahudi di dalam kitab Injil dan Taurat ( yang hakikatnya sudah dipesong habis oleh paderi sejak zaman Nabi lagi), tidak kiralah apa jenis tudung mereka sekalipun, wanita-wanita Muslim tetap mempunyai tugas untuk dilaksanakan, iaitu memakai tudung mengikut satu garis panduan yang ditetapkan oleh Islam.
Selain itu, jika benar pun ‘tudung' bagi wanita Kristian dan Yahudi adalah seperti tudung wanita Muslim, maka apakah masalahnya jika sama dalam perkara yang baik dan suci? Smaa seperti Islam mendokong keadilan dan demikian juga agama lain.
Kita mesti fahami dan menyedari bahawa agama asal An-Nasara dan Al-Yahudi (sebelum diubah sepertimana sekarang ini) adalah juga agama samawi iaitu suatu ajaran yang diturun oleh Allah melalui Nabi Isa dan Nabi Musa a.s kepada kaum mereka ahli Kitab. Oleh itu, persamaan dalam beberapa aspek adalah normal dan boleh diterima.
KRISTIAN HANYA BERTUDUNG TATKALA SEMBAHYANG
Walaubagaimanapun, realitinya, tunjukkan berapa ramai Kristian dan Yahudi yang memakai ‘tudung' secara terbuka? Anda patut sedar bahawa sifat tudung kristian adalah Berebza DIMANA MEREKA HANYA UNTUK menutup kepalanya hanya setiap kali mereka ingin bersembahyang, sama ada di gereja atau di rumah. Ini bermakna jika dia tidak bersembahyang di rumah, kepalanya akan terdedah di kalangan tetamu lelaki yang tidak ada kaitan keluarga dengannya; atau jika dia bersembahyang di rumah, kepalanya ditutup walau kepada suaminya dan keluarganya sendiri.
Kesimpulannya, jika perempuan Kristian hanya memakai ‘tudung' semasa bersembahyang, maka tiada persamaan yang perlu diambil kira sebagaimana dakwaan rakan Raja Petra. Malah perkataan "untuk dikenali" di dalam ayat tadi juga sebeanrnya telah disalahtafsirkan oleh Raja Petra dan rakan-rakannya.
RAKAN RAJA PETRA MENULIS :
2) "Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasaannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhias yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." Surah An-Nur (24), ayat 31.
Raja Petra's friend Comment : Sekali lagi tiada disebut langsung pasal kepala (ru'usa) di dalam ayat ini atau muka (wujuh/wajh). Sila perhatikan perkataan ‘menarik pakaian luarannya ke atas dada mereka'. Terjemahan bahasa Arabnya adalah seperti berikut:
walyadribna : dan tutuplah
bi khumurihinna : dengan pakaian luarannya
Ala : ke atas
juyoobihinna : dada mereka
Wanita diperintahkan untuk menutup dada mereka. Itu sahaja. Ini sama dengan petikan Surah Al-Ahzab ayat 59 di atas di mana kaum wanita diperintahkan untuk melabuhkan pakaian mereka. Tiada langsung disebut kepala (ru'usa), muka (wujuh) atau rambut.
KOMEN UZAR UNTUK NOMBOR 1 & 2 :
Allah Yang Maha Perkasa telah Berfirman:-
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ
Maksudnya: Dan katakan pada wanita-wanita beriman: "Hendaklah mereka melabuhkan kain-kain penutup kepala (tudung) sehingag bahagian dada mereka janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.."
Saudara Raja Pete atau rakan anda, mengapakah kamu atau dia hanya bertumpu sekitar beberapa perkataan di dalam ayat tersebut dan tidak memberikan perhatian kepada yang lainnya.?
FAHAMI ERTI 'KHUMUR'
Raja Petra dan rakannya telah menafsirkan ‘Al-Khumur' secara tidak tepat, ini berpunca dari kaedah terjemahan dan kefahaman yang dibuat secara harfiah (perkataan demi perkataan) , kaedah terjemahan dan pemahaman sedemikian tidak akan dapat membantu anda memahami perkataan tersebut dengan betul.
Jika anda mampu memahami perkataan "al-Khumur' dengan sebenar, ia akan memberikan anda jawapan kepada soalan yang anda sendiri reka dan menjawab andaian-andaian salah yang anda cipta iaitu apabila anda berkata : "Tiada LANGSUNG disebut tentang kepala atau rambut".
Maksud sebenar khumur (tudung) adalah apa sahaja yang digunakan untuk menutup kepala. Manakala ‘juyub' (kata ganda bagi jaibun) adalah bentuk dada yang tidak ditutup dengan kain. Oleh itu, setiap wanita mestilah menutup tidak hanya kepala mereka tetapi juga dada termasuklah leher, telinga dan segala bahagian badan yang boleh membuatkan kaum lelaki menjadi tertarik.
Untuk memahami teks Quran dengan betul, seseorang mestilah menyelami dan mencari penggunaan istilah secara tepat di dalam bahasa Arab. Dia juga harus tahu bagaimana cara istilah atau perkataan itu digunakan di dalam masyarakat Arab kerana Quran diturunkan didalam bahasa Arab kepada masyarakat Arab di waktu itu.
Displinnya adalah mudah sahaja dan ia terpakai untuk semua jenis bahasa di tempat masing-masing. Sebagai contoh jika anda berada di United Kingdom, apabila orang tempatan berkata "It cost the earth" maka secara semulajadi akan difahami ertinya iaitu 'terlalu mahal dan apabila disebut "I hit the roof" beerti sudah marah. Perkataan ‘Motorway' beerti highway dan lain-lain. Tentunya, mereka yang biasa sahaja akan dapat memahami dengan tepat.
Demikian juga penggunaan perkataan tertentu untuk maksud tertentu yang sudah amat difahami oleh orang setempat seperti perkataan ‘rumah' yang termasuk dalam takrifannya adalah tanahnya, dapur dan tandasnya.
Sama juga halnya dengan bahasa daerah di Malaysia, seperti 'nate' bermaskud binatang dan penghinaan dan lain-lain.
Sama seperti kes dalam ayat ini, apabila Allah menggunakan kalimah "khumur", ia sudah difahami oleh Nabi dan para sahabat setempat ia bermaskud kain yang menutupi kepala. Ia dijelaskan sendiri oleh pakar tafsir di kalangan sahabat iaitu Ibn Abbas r.a.
Justeru, ia sebenarnya tidak termasuk dalam kes takwil perkataan tertentu dalam ayat dan sepertinya. Malah ia termasuk dalam ilmu Usul Fiqh dalam perbincangan Ibaratun Nas, Dalalah an-Nas, Isyaratun Nas dan lain-lain. Sebab itulah ilmu Usul Fiqh wajib dikuasai bagi mereka yang ingin pergi dalam dalam memahami Al-Quran. Tanpanya, anda perlu merujuk ulama yang pakar sama ada dari tafsir-tafsir ulama silam, kontemporari dan sebagainya.

Dari itu, adalah baik untuk mendapat pengetahuan tentang cara hidup masyarakat Arab yang silam (terutamanya pada masa Nabi S.A.W) sebelum seseorang boleh memahami maksud sebenar sesuatu ayat. Bagi memenuhi kehendak ini, merujuk kepada buku-buku tafseer daripada Imam-Imam Tafseer adalah amat penting bagi mengelakkan diri kita dari tersalah-tafsir dan tersalah faham.

Malah sesiapa sahaja yang berminat untuk mendalami Islam dengan serius mereka disarankan untuk menziarahi negara-negara Arab untuk merasakan suasana dan membiasakan diri dengan penggunaan perkataan-perkataan tertentu dalam perbualan masyarakat Arab dewasa ini. Ini sudah tentu dapat membantu lagi dalam memahami bahasa Arab di dalam Quran.
Bila Allah SWT menyebut "Khumurihinna", apa yang mesti kita fahami pertamanya,
Apakah yang dimaksudkan dengan "khumur"?.
Jawapannya ialah tudung yang menutupi kepala, rambut, telinga dan sebagainya. Apabila seseorang menyebut "khumur" di depan seseorang lain yang arif tentang bahasa Arab, apakah yang dia akan faham? Sudah tentulah, tudung juga. Fakta ini telah banyak dibahaskan oleh Ulama Islam yang hebat seperti Imam At-Tabarii (wafat 301Hijriah) di dalam tafseernya yang terkenal, Jami al-Bayan dan juga Imam Ibn Katheer (Tafseer At-Tabari, 18/120; Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, 3/285)


SATU LAGI DALIL PERLU BERTUDUNG SEMPURNA
Selain dari khumur iaitu kain tudung yang menutup kepala wanita, dan juyub yang menutup leher dan dada kaum wanita, ayat tersebut juga menekankan satu lagi aspek yang secara putus termasuk rambut, kepala dan leher iaitu firman Allah SWT:
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ
Maksud: "dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.."
Adakah anda faham apakah yang dimaksudkan dengan "perhiasannya" di dalam ayat ini?
Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qardawi, perhiasan yang dimaksudkan di atas merujuk kepada apa sahaja yang dipakai untuk mencantikkan diri seseorang; sama ada yang diKurniakan Allah seperti wajah, rambut dan bentuk tubuh; atau kecantikan yang dibuat manusia seperti baju, barang kemas, make-up dan lain-lain.
Di dalam ayat di atas, Allah Memerintahkan wanita untuk menyembunyikan perhiasan diri mereka tanpa pengecualian. Walaubagaimanapun, pengecualian hanyalah pada "yang (biasa) nampak daripadanya". Para Ulama mempunyai perselisihan pendapat tentang apakah maksudnya dan batas-batas "perhiasan, kecuali yang (biasa) nampak" tetapi kesemuanya bersetuju bahawa tiada pengecualian untuk rambut dan kepala.
Ini adalah berdasarkan hadith berikut:-
Saidatina Aisyah R.A. meriwayatkan bahawa saudara perempuannya Asma' binti Abu Bakar masuk ke rumah Nabi S.A.W memakai pakaian yang nipis dan jarang sehinggakan menampakkan bentuk tubuhnya. Nabi S.A.W lalu memalingkan muka Baginda daripada Asma' dan berkata:
"Wahai Asma'! Sesungguhnya apabila seseorang wanita telah mencapai umur baligh, dia tidak boleh mendedahkan badannya kecuali ini dan ini - sambil menunjukkan muka dan kedua tapak tangan (kedua-dua tangan)." (Riwayat Abu Daud)
Walaupun ada perbincangan tentang perawi hadith ini, ianya dikuatkan dengan banyak lagi hadith yang membenarkan mendedahkan muka dan tangan jika ianya tidak membawa mudharat (fitnah). (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)
Hadith ini juga menyokong pendapat bahawa kepala dan rambut wanita adalah ‘aurat dan mesti ditutup oleh wanita Muslim, kecuali muka dan tapak tangan atau tangan yang boleh dilihat oleh masyarakat umum.
Memang benar, terdapat perbincangan tentang apakah yang dimaksudkan dengan "perhiasan yang (biasa) nampak daripadanya" iaitu bahagian yang dibolehkan terdedah sebagaimana yang dinyatakan di dalam AL-Quran tadi. Namun, sepakat ulama 4 mazhab dan Ijma' ia BUKANLAH rambut, leher, telinga dan kepala.
Ibnu Abbas R.A., salah seorang sahabat terulung Nabi S.A.W. menafsirkan "perhiasan yang (biasa) nampak daripadanya" adalah celak mata dan cincin. Anas Bin Malik R.A juga sependapat dengan beliau.
Oleh itu, bahagian badan yang mempunyai celak mata dan di mana cincin dipakai (iaitu muka dan tangan) adalah dikira sebagai "yang (biasa) nampak". Ini juga merupakan pendapat Tabi'in seperti Said bin Jubair, ‘Atha', Auza'i dan lain-lain.
Bagaimanapun, Ummul Mukminin Aisyah R.A., Qatadah dan beberapa yang lain berpendapat gelang sebagai "yang (biasa) nampak". Oleh itu, pergelangan tangan (di mana gelang dipakai) juga dikira sebagai "yang (biasa) nampak" jika ianya tidak menimbulkan fitnah. Berkenaan batas pergelangan tangan ke siku, ianya masih dibincangkan di kalangan Ulama; dari itu adalah lebih baik untuk menutupi bahagian antara pergelangan tangan dan siku.
RAKAN RAJA PETRA menyatakan:
3) Untuk menterjemah Quran, kita perlu pergi kepada ahlinya. Dalam keadaan apa ayat itu diturunkan, dll. Tapi bukan semua Ulama tahu perkara ini.
Komen: Kita TIDAK menterjemah Quran. Boleh saya cadangkan suatu yang lebih mudah? Kenapa tidak hanya membacanya? Jika kita baca Quran dalam bahasa Arab dan kemudian melihat terjemahannya baik-baik, kita akan dapat memahaminya. Anda TAK PERLU TAHU bahasa Arab pun. Contohnya, perkataan arab untuk KEPALA, tidak pernah disebut di dalam mana-mana ayat di atas. Begitu juga dengan muka dan rambut. Jadi bagaimana penterjemah memasukkan kepala, muka dan rambut? Seseorang mesti terangkan perkara ini.
KOMEN UZAR
Saya telah menjawab kenyataan salah ini dan tidak perlu lagi disentuh perkara ini.
Apakah anda fikir Allah hanya akan menggunakan ru'asa untuk memberi erti kepala dan sya'run kepada rambut? Anda benar-benar keliru Encik Raja Pet dan rakan. Apabila Allah SWT melarang kita walau berkata ‘Ah' kepada kedua orang tua kita sebagaimana yag disebut di dalam surah Luqman. Jadi adakah boleh kita menyebut ‘Uh' dan bodoh dan sebagainya kepada kedua orang tua kita hanya kerana ianya tidak disebut dalam Quran dengan jelas?
Sebenarnya, apabila Allah melarang perkataan ‘Ah' kepada ibubapa, ini beerti Allah swt juga melarang segala macam ucapan yang mempunyai kesan buruk yang sama, malah bukan hanya perkataan-perkataan keji sahaja, tetapi juga perangai dan kelakuan yang tidak baik terhadap kedua ibubapa. Di dalam ilmu Usul Fiqh ia dipanggil Qiyas al-Awla atau boleh juga dikategorikan sebagai ‘umum al-lafz' yang membawa semua perkataan di bawah maksud yang sama.
Jadi, kepala dan rambut wanita termasuk di dalam perkataan "al-khumur" di dalam ayat tersebut. Semudah itu.
Tentang bahagian akhir artikel Raja Petra, sebahagian hadith telah disalah rujuk jadi saya tidak perlu memberi respon padanya.
MITOS 'DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER'
Ungkapan ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.
"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya memberi buah fikirannya.
"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita ini lagi.
Benarkah hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)
Simpati bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.
"Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu"
Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang"
Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya ?
Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :
"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.
Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'.
Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :
إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع له قطعة من النار
Ertinya : Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka" (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )
Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.
Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendaat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW
من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً
Ertinya : Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )
Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik ? setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya ?.
Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya. ?
Terima kasih atas masa anda.
Zaharuddin Abd Rahman
http://zaharuddin.net/
10 Sept 2008
10 Ramadhan 1429 H

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails