CARI DALAM BLOG INI

Monday, September 28, 2009

ANTARA GURU DAN DAI’E (sumber : asqalani.blogspot.com)

Sudah masuk minggu ketiga saya berstatus seorang guru. Walaupun didalam standardnya, saya di title'kan sebagai guru 'tidak terlatih', namun ianya benar-benar mencabar bagi seorang anak muda yang masih manis darahnya.


Teringat dialog sewaktu di kafeteria.

"Wahh...bersemangat ustaz Asyraf... ( kata cikgu S )

"Biasalah...nak mendidik anak bangsa"...( jawabku seakan-akan orang politik )

"heheh...kami pun dulu macam ustaz jugak...bukan main bersemangat kononnya nak mendidik anak bangsa, nak merubah minda anak murid la....tapi bila dah bertahun jadi cikgu, semangat awal tuh ntah kemana..." ( Jawab cikgu S secara sindiran )

Baru sahaja nak ambil semangat, dah mula luntur. Mungkin jangka masa selama 2 minggu belum cukup memberi kesan dalam menghakis semangat yang membara ini. Apalah sangat 2 minggu berbanding cikgu-cikgu yang dah bertahun-tahun berhadapan dengan karenah para pelajar yang aneka ragam warna dan resepinya.

Apapun saya mengakui, guru-guru yang ada sekarang bukanlah mencairkan hati mereka hanya semata-mata mencari masuknya habuan kedalam perut. Kalaulah diberikan gaji yang sebanyak manapun, jika tidak dibandingkan dengan kepenatan guru-guru mengajar amat tidak berbaloi. Namun isi dalam durian siapa tahu enaknya. Biarlah para guru yang meletakkan niat mereka sendiri.

Sebenarnya tugas guru adalah sebaik-baik daie yang ada dimuka bumi. Bayangkan, dalam berebut-rebut para pencari mad'u merebut membanyakkan ahli, tetapi sang guru hanya menunggu para mad'unya. Jelas kemudahan yang ada pada guru untuk menyampaikan dakwah mereka kepada anak murid. Sebenarnya ini bukanlah suatu kebetulan. Tapi ianya adalah anugerah dan pilihan Allah kepada guru-guru. Ditegaskan sekali lagi...guru adalah pilihan Allah SWt...taburlah benih diatas tanah-tanah yang telah dihadiahkan Allah SWT.
Walaupun ada sebahagian guru yang merintih mengatakan "Anak murid nih dah tak boleh dididik lagi. Semuanya degil degil"...


Rintihan ini adalah sebahagian rintihan dari seorang yang berputus asa. Imam Ibn Hajar al-Asqalani sendiri mengambil pengajaran dari pengamatannya terhadap setitis air yang mampu melekukkan batu yang keras sekiranya ianya dilakukan secara istiqamah berkali-kali.

Ya...memang ada bukti menunjukkan bahawa ada segelintir manusia yang sampai bila pun tidak akan menerima sebarang perubahan kepada kebaikan. Ini berdasarkan dalil dari Surah Yaasin ayat ke 10 : "Wasawa un 'alaihim a anzartahum amlam tunzirhum la yukminun". maksudnya :
"Sama sahaja bagi mereka, samada engkau memberi peringatan kepada mereka atau engkau tidak memberi peringatan, nescaya mereka tetap juga tidak beriman".


Dalil diatas menceritakan bahawa memang terdapat diantara segelintir pelajar yang memang tidak boleh diubah walau sebanyak manapun teguran yang diberikan. Tapi, dalam ayat yang sama ianya menceritakan sesuatu yang mungkin kita sendiri tidak sedari.

berkata Maulana Saad. Amir sab jemaah Tabligh sedunia di dalam program Ijtimak di Nilai baur-baru ini. Katanya :

Allah menggunakan perkataan 'Alaihim' ( bagi mereka ) dan bukannya menggunakan perkataan 'Alaika' ( bagi kamu ). Ini bermaksud. Ayat ini hanya memberi tahu berkenaan orang yang didakwah atau dipanggil madú. Allah tidak menggunakan kalimah 'alaika' kerana para dai'e yang berdakwah tidak sama sekali sama tarafnya jika ia memberi peringatan atau tidak beri peringatan. Sekiranya para daie memberi peringatan, maka Allah akan membalas usahanya dengan berlipat kali ganda ganjran walaupun orang yang didakwahnya tidak berubah walaupun selangkah. Ini menunjukkan kerja para dai'e bukanlah mewajibkan datangnya hasil...

Ingat!!....bukanlah syarat atau maksud dalam berdakwah itu adalah "penerimaan". Berdakwahlah walaupun tidak diterima. Kerana itulah jalan-jalan yang telah ditempuh oleh sekelian para Rasul dan sahabat-sahabat Nabi SAW.

Semoga guru-guru muslim dimuka bumi ini dapat mengimbangi antara gaji dan usaha sebagai dai'e. WAllahua'lam....

PENDAKWAH ATAU PENGAJAR

PENDAKWAH ATAU PENGAJAR
(sumber : asqalani.blogspot.com)


Secara umumnya, tugas sebagai pendakwah mahupun sebagai pengajar adalah seiring. Mengajar dalam masa sama ianya juga dinamakan sebahagian daripada urusan dakwah. Begitu juga kerja sebagai pendakwah turut sama mengembeling usaha sebagai seorang muallim. Itu pandangan secara umum. Tapi, secara khususnya apabila kita meletakkan diri kita diantara kedua 'title' tersebut, maka akan terdapat sedikit perbezaan yang mungkin kita tidak sedari. Walaubagaimanapun ini hanyalah sekadar hujah akal yang amat lemah. Dan ianya disandarkan hanya kepada pengalaman. Walaubagaimanapun ianya bolehlah dikongsi bersama sebagai satu percambahan dan perkongsian ilmu.

Antara perbezaan pengajar dan pendakwah adalah :

1 ) Pengajar selalunya dijemput oleh anak murid. Manakala pendakwah selalunya menjemput anak murid.

2 ) Pengajar selalunya diberi 'angpau' selepas majlis ilmu yang disampaikan. Manakala pendakwah selalunya ia yang mengeluarkan duit untuk menyampaikan ilmunya.

3 ) Pengajar selalunya dihormati, dicium tangannya dan dipuji-puji. Manakala pendakwah selalunya dibenci, dicemuh, malah kadang-kadang dilemparkan dengan pelbagai tuduhan.

4 ) Pengajar selalunya dicari oleh mad'u. Manakala pendakwah selalunya ia sendiri yang mencari mad'unya.

5 ) Pengajar sekiranya ia mengajar 2, 3, 4 ilmu kepada orang ramai, maka secara tidak langsung ia mempunyai 40, 50 ilmu. Manakala pendakwah, sekiranya ia ada 10 ilmu, maka sepuluh lah yang diajarkannya. ( kenyataan ini bukanlah bermaksud pengajar sering menyembunyikan ilmunya dan ini juga merupakan amaran kepada pendakwah supaya jika ilmunya hanya 10, 20, maka janganlah diajar sehingga 50, 60 ilmu. Takut terjebak dalam golongan yang mendustakan agama )

6 ) Pengajar selalunya dihidangkan makanan terutamanya selepas mengajar di masjid-masjid mahupun di forum-forum. Manakala seorang pendakwah kadang-kadang ia sendiri yang menjamu hidangan kepada mad'unya. Lapar dan dahaga menjadi jadual hidupnya.

7 ) Pengajar kena ambil tauliah kat Jabatan agama. Manakala pendakwah perlu mengambil tauliah dari hati-hati yang sudi mendengar.

Itu sebahagian dari perkongsian bersama. Mungkin ada yang bersetuju dan tidak bersetuju. Itu adalah sebahagian dari kematangan dalam perbezaan pendapat. Kesimpulannya, jadilah seorang pendakwah walaupun anda memegang title sebagai pengajar, muallim, ustaz, ulama', tok guru dll. Kerana bukan semua pengajar mampu menjadi pendakwah. Dan jadilah pengajar yang alim dan berilmu sekiranya anda ingin turun ke padang sebagai panglima dakwah. Ini kerana jalan dakwah bertunjangkan ilmu. Dek kerana ilmu jugalah, Nabi SAW menghantar Muaz Bin Jabal ke Yaman untuk menyampaikan dakwah.

Ingat....

Ada banyak perbezaan diantara mengajar Sunnah dan mengajak orang mengamalkan Sunnah. Mengajar orang cara solat dengan betul dan mengajak orang untuk solat dengan betul. Mengajar orang fadhilat solat berjemaah dengan mengajak orang untuk solat berjemaah. Wallahua'lam.

KENANGAN IJTIMA' 2009


KENANGAN IJTIMA’ MALAYSIA 2009 ( ashady.blogspot.com )

Perjalanan kehidupan sepanjang dua hari cuti ini akan ku kongsi bersama...mungkin ada terselit disebaliknya keindahan yang sukar diterjemahkan melalui mata pena...namun sekurang-kurangnya ianya memberi kita ilmu baru...

Pada hari Jumaat 10 Jun 2009, Tak sempat nak lepas rehat pulang dari mengajar di SMK Teluk Kumbar II, aku terpaksa menemani ayahku ke Ijtimak Malaysia 2009 di Kuarters KLIA di Sepang. Perjalanan yang amat menarik. Bayangkan di setiap perhentian yang kami berhenti pasti terdapat ramai karkun-karkun yang turut sama bertujuan atas maksud yang sama iaitu ke Ijtimak Umat Islam Semalaysia. Setiap kali kami berhenti sembahyang, sudah pasti surau-surau di R&R penuh dengan para jemaah tabligh. Menyebabkan kami terpaksa beralih ke hentian seterusnya.

Setibanya disana, kami diarahkan untuk meletakkan kenderaan di kawasan letak kereta Litar F1. Anak-anak muda yang dipanggil 'khidmat' sebagai nama glamour bagi sukarela, tetap teguh menjaga parking kereta. Kami terpaksa mengambil bus shuttle untuk ke tapak istima'. Ini kerana mereka tak mau berlaku kesesakan di kawasan penduduk tempatan. Dalam bab ni, aku amat kagum dengan Amir-amir karkun nih. Mereka tidak mencari publisiti seperti mana hizbi-hizbi lain yang suka mencari 'crowd' dengan melakukan himpunan-himpunan kononnya bersifat kerakyatan hinggakan menggangu masyarakat awam. Mereka tidak memilih padang-padang di tengah kota untuk menunjukkan kekuatan. Sehinggakan berlakunya kesesakan lalulintas yang amat teruk. Lalu bila ditanya kepada mereka, mereka akan menjawab "Himpunan atau ini adalah untuk mengembalikan hak rakyat!!!"...

Setelah sampai di tapak ijtimak....

Fuhh...lautan manusia...Jalan yang penuh sesak di tempat tersebut bukanlah seperti yang dirancang. Walaupun parking kereta terletak lebih kurang 3km dari tapaki Ijtima' tapi kesesakan tetap berlaku. Ini bukan kerana mereka yang merangcang. Tapi inilah ketentuan Allah dalam mengumpulkan hati-hati manusia. Kesesakan adalah kerana jumlah yang hadir telah melebihi apa yang dijangka oleh pihak Markas.

Terdapat 14 khemah. Termasuklah 2 khemah gergasi yang panjangnya mencecah setengah kilometer. lebarnya separuh padang bola sepak. Ini tidak termasuk khemah khas VIP, khemah ta'am dan puluhan khemah pasar jualan.

Aku menyertai khemah yang dikhususkan kepada jemaah dari Markaz Masjid Benggali, Penanti dan Perlis. Alhamdulillah...dalam kesempitan itu, masih terdapat ruang untuk kami bertiga tidur sekali. Walaupun tempat tidur kami tidak cukup sekiranya kami melunjurkan kaki sepenuhnya. Ini kerana dihujung kaki kami terdapat kepala jemaah lain. Tidurlah kami bertiga beralaskan selimut nipis diatas tarpal yang menjadi alas kepada tanah keras...Mujahadah...mujahadah...

Perkara pertama yang di cari tentulah tandasnya....tuan-tuan yang dimuliakan...tahu tak berapa jauh perjalanan ke tandas???lebih kurang 300meter tuan-tuan...Dahla jauh, air yang disediakan tidak mencukupi. Setiap karkun mestilah menjimatkan air. Sehinggakan arahan dari pihak pengurusan mengatakan "Dilarang mandi kecuali mandi wajib!!"...Disebabkan itulah asqalani tak mandi 2 hari.Semua jemaah dikehendaki berwudhu dengan sebotol air mineral sahaja. Termasuk juga penggunaan tandas. Namun satu sikap yang harus dipuji, mereka tetap menghormati para ulama', imam-imam, ustaz-ustaz dan orang tua uzur. Sehinggakan terdapat tempat khusus mandi untuk mereka. Tempat berwudhu yang sesak, tandas yang dhaif, semua itu tidak mungkin dapat memberi keselesaan bagi sesiapa sahaja yang berada di bumi Malaysia. Namun, jikalau kalimah keramat yang selalu diulang-ulang tidak tertanam di dalam jiwa, nescaya tercemarlah lidah dengan hinaan demi hinaan...kalimah itu adalah..."MUJAHADAH"....

Keesokkan harinya, pada awal pagi sebelum subuh....aku mula bangun di celahan-celahan karkun yang sibuk bermunajat kepada ALLAH SWT. Terdapat khidmat untuk gerak jemaah supaya bangun solat subuh. Azan dilaungkan dan iqamah 30minit selepasnya...ini kerana memberi kesempatan bagi jemaah untuk menyempurnakan wudhu' dan memberi kesempatan kepada jemaah yang berada di jemaah belakang datang ke saf hadapan. Para jemaah duduk di dalam saf. Apabila iqamah dilaungkan, kerja-kerja merapatkan saf dilakukan. Yang menariknya, para ahli khidmat dari hadapan tidak putus-putus memanggil untuk merapatkan saf. "InsyaAllah tuan-tuan yang mulia...ada lagi saf kosong dihadapan.InsyaAllah.." seru para ahli khidmat...

Sesudah selesai solat, kami melakukan zikir selepas solat secara 'sirr'...kalaulah ada masyarakat yang tak paham mesti diorang akan cop geng tabligh nih 'wahabi'...Selepas sahaja solat, majlis bayan terus menerus diadakan. Yang menariknya, pada hari Sabtu, aku dijemput untuk mengikuti program khusus untuk para alim ulama', kiyai-kiyai, Tuan Guru-tuan guru dan ustaz-ustaz. Pada mulanya aku kekok untuk berada bersama ratusan alim ulama'. Namun diatas title ustaz, akupun duduk bersama dalam majlis mulia itu. Bayan disampaikan oleh Maulana Saad. Amir Jemaah Tabligh sedunia bagi Markaz Nizamuddin di India. Beliau yang pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia dengan penuh teratur lemah lembut nasihat dan pesanan yang disampaikan. Pernterjemah pula bukan calang-calang orang. Maulana Hamid yang merupakan Mudir Hafiz dan Alim Markaz Sri Petaling. Seorang yang amat tinggi hebahnya. Ini kerana asqalani pernah makan setalam bersamanya suatu ketika dahulu di Kolej Kediaman Ke-5 UM. Kesempatan makan setalam yang menyebabkan student-student lain amat mencemburui asqalani ketika itu. Namun bagi asqalani, ianya suatu yang merendahkan hati asqalani untuk duduk bersama orang sehebat beliau.

Banyak pengisian yang benar-benar memberi kesan mendalam kepada para asatizah yang mendengar. Antaranya kata Maulana Saad "Para ulama bukan setakat mewarisi ilmu Nabi SAW..namun ia juga mewarisi usaha-usaha Nabi SAW"..Setelah tamat majlis tersebut, aku berjumpa dengan Ustaz Fuad Maahad al-Mashoor, Ustaz Rifqi MTQ Repek. AKu amat terkejut dengan kehadiran mereka sedangkan mereka bukanlah 'karkun'...

Pelbagai lagi pengalaman menarik yang boleh dikongsi disini. Antaranya, tiada satupun kotak tabung derma diedar mahupun diletakkan disudut khemah. Andaian aku, sekiranya setiap seorang jemaah memberi sedakah RM 1 pun sudah cukup mampu mengumpul RM200,000 sehari. Aku bertanya kepada pakcik Razak. Salah seorang karkun buzruq. Beliau menjawab, kami jemaah tabligh takkan edar tabung derma. Sekiranya sesiapa yang ingin menginfakkan duit, dia boleh terus berjumpa dengan petugas. Ini kerana bagi amir tabligh, beliau akan berkata.."Simpanlah duit kamu untuk kamu gunakan untuk keluar di jalan ALLAH SWT"...Ini kerana menginfakkan masa, kelapangan, daya usaha dan nyawa LEBIH BESAR ganjaran disisi ALLAH SWT.

Untuk pengetahuan tuan-tuan yang dimuliakan Allah SWT. Sepanjang program, Maulana melarang untuk mengambil sebarang gambar atau video. Namun disebabkan ianya sukar dikawal, larangan tersebut hanya melarang sesiapa mengambil gambar-gambar di pentas. Apatah lagi gambar-gambar Maulana. Ini seperti mana yang diceritakan oleh seorang karkun buzruq, maulana tidak suka segala ke'glamourán. Mereka lebih suka untuk tidak disanjung oleh para pengikut. Mereka amat berkeras terhadap ghuluw yang melampau terhadap tokoh-tokoh atau mana-mana makhluk walau sehebat manapun mereka. Ini amat berbeza dengan tokoh-tokoh tarekat....

Banyak lagi pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan sepanjang berada di Ijtimak Umat Islam tersebut. Namun ini adalah secebis perkongsian yang termampu penulis ceritakan....Apapun tahniah kepada jemaah tabligh kerana anda mampu menjemput semua Umat Islam berkumpul tanpa sebarang hizbiyyah. Anda juga telah secara rasminya membentuk 'Kerajaan Perpaduan' umat tanpa mengira mana-mana parti mahupun jemaah. Yang penting umat Islam disatukan atas maksud yang satu iaitu "Dakwah ila Allah"...

Di petik dari Blog
Ustaz Asqalani
P/S : entah bila lagi ijtima akan dibuat kat Malaysia ni....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails