CARI DALAM BLOG INI

Sunday, May 17, 2009

RENUNGAN

Kejayan seluruh umat manusia,hatta jin sekalipun, hanyasanya dalam agama Allah swt. Sejauh mana kita taat pada perintah Allah ikut cara yang telah ditunjukkan oleh baginda Nabi Muhammad saw. Maha Adilnya Allah,walaupun seseorang itu miskin, tiada harta, namun ada agama dan mengamalkan agama,maka dia telah Berjaya di sisi Allah,di dunia yang sementara dan di akhirat yang kekal abadi. Sebaliknya, seseorang yang mempunyai harta yang banyak,pangkat dan darjat yang tinggi di mata manusia, tetapi tidak ada agama dalam kehidupannya, maka dia adalah orang yang sangat rugi di sisi Allah swt,dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Dunia adalah sementara, dan akhirat adalah satu tempat yang kekal. Kejayaan di akhirat bergantung kepada apa yang telah kita usahakan di dunia lagi. Untuk Nampak kejayaan akhirat perlu ada iman dan yakin yang sempurna pada Allah. Yakin pada akhirat ,yakin pada alam kubur, sirat, mizan ,syurga dan neraka hanya dapat diyakini bila ada iman yang sempurna. Namun, keadaan sekeliling dan dunia yang serba menipu daya menyebabkan mata hati tidak dapat melihat dunia akhirat,kerana mata zahir telah dibiasakan untuk melihat alam dunia yang penuh dengan senda gurau dan tipu-daya. Sehingga yakin pada kudrat dan kehebatan Allah telah bertukar kepada yakin dengan kehebatan dunia. Hati telah penuh diisi dengan dunia. Harta,pangkat,wang ringgit, kuasa, senjata telah mengisi ruang dalam hati-hati manusia, sehingga ruang untuk diisi kebesaran Allah sudah tidak ada. Akibatnya berani untuk melanggar perintah Allah, berani melawan hukum Allah, berani melakukan maksiat pada Allah. Seperti mana kaum-kaum yang terdahulu telah yakin pada benda-benda, menyebabkan Allah murka dengan mereka.dan Allah hantar azab pada mereka.

Atas perkara inilah, iman perlu diusahakan. Siapa yang kena usaha? Seluruh umat islam yang mengaku Allah itu Tuhan dan Nabi Muhammad saw itu nabinya. Kita diwajibkan hanya mati dalam keadaan islam (beriman) seperti mana yang selalu diutarakan di mimbar-mimbar Jumaat oleh khatib,” Janganlah kamu mati melainkan dalam Islam”.Iman hanya akan didapati bila ada usaha untuk dapatkan iman. Misalnya, hari ini ada orang yang usaha atas padi maka di rumah-rumah kita adanya beras untuk dimasak dan dimakan. Apa akan berlaku jika seluruh petani-petani seluruh dunia berhenti daripada menanam padi? Pasti dan pasti beras akan habis di kedai-kedai, akibatnya kita akan bertukar pula untuk makan gandum! Begitu juga sebagaimana kita dapat agama pada hari ini sebab ada orang yang usahakan agama dahulu. Siapa? Para sahabat-sahabat, tabiin-tabiin dan akhirnya kita di Malaysia dan seluruh dunia dapat agama Islam. Apa akan berlaku jika sahabat-sahabat duduk diam di mekah madinah dan tidak keluar di jalan Allah untuk sebarkan agama? Apa akan jadi pada kita agaknya? Apa yang kita akan sembah hari ini?

Nabi Muhammad saw diutus untuk umat ini hingga akhir zaman. Persoalannya Nabi telah wafat 1430 tahun yang lalu. Jadi siapa yang kena buat kerja untuk pesan-memesan pada yang hak? Siapa yang kena buat amar ma’ruf nahi mungkar? Siapa yang kena buat dakwah? Nak tunggu nabi lain turun? Adakah ustaz-ustaz, orang dakwah, JHAEINS, MUIS atau JAKIM yang kena buat? Sebenarnya seluruh umat Islam bertanggung jawab atas agama ini. Maju dan mundurnya agama ini adalah di atas bahu-bahu kita semua,saya dan tuan-tuan yang beriman dengan Allah dan Rasulnya.
Inilah yang menjadi satu kemuliaan bagi umat akhir zaman. Allah bagi gelaran sebagai umat yang terbaik dalam Al-Quran sebab kita ada kerja untuk ajak manusia kenal siapa Pencipta mereka, siapa yang bagi mereka rezeki,siapa yang berkuasa di alam ini. Sehingga kita dicemburui oleh kaum-kaum terdahulu, dicemburui oleh Nabi-nabi terdahulu kerana kerja ini,KERJA DAKWAH. Malangnya ada orang dan pihak-pihak tertentu salah tafsir tentang ayat Allah yang mengatakan “ kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia..” .Mereka beranggapan kita menjadi umat yang terbaik sebab kita maju dari segi ekonomi, ada teknologi yang hebat-hebat, ada kepakaran itu dan ini, ada kekuatan senjata. Na’udzubillah…… fikir-fikir sebegini lah yang ada pada kaum saba’ yang yakin dengan pertanian, yakin sebegini yang ada pada qarun terhadap hartanya, yakin sebegini yang ada pada Firaun dan Namrud terhadap kekuasaan, ketenteraan dan kerajaannya, yakin seperti ini yang ada pada kaum Aad terhadap kekuatan mereka, yakinseperti ini yang ada pada kaum Tsamud terhadap kepakaran mereka…. Sebenarnya sambungan daripada ayat tersebut adalah “…. Kerana kamu mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar serta kamu beriman pada Allah.” Tidak disentuh pun tentang ekonomi,pangkat, kekuasaan, teknologi dan sebagainya. Seorang Ustaz bagitau, bila dakwah dibuat barulah ekonomi, teknologi, kekuatan dan sebagainya akan ikut di belakang.

Hari ini, dakwah bukan setakat mengajak orang bukan islam untuk masuk islam, tetapi juga bagaimana untuk orang islam sendiri dapat beramal dan mentaati seluruh perintah Allah dan mengamalkan seluruh hukum-hukum agama dalam kehidupan. Orang islam sendiri ada hak untuk diberi peringatan tentang agama. Allah sendiri bagitahu “Berilah peringatan,sesungguhnya peringatan itu bermanafaat bagi orang-orang mukmin.”. Dakwah bukan hendak mengajar orang atau mencari kesalahan orang, tetapi dakwah dibuat untuk meperbaiki diri kita sendiri dahulu. Biasakan cakap agama, biasakan lidah cakap kebesaran Allah,Biasakan fikir akhirat, barulah yakin pada janji-janji Allah akan datang, seterusnya ketakutan pada Allah akan hadir dan mudah untuk mentaati seluruh perintah Allah. Jika tidak, kita akan biasakan lidah cakap dunia, biasakan untuk fikir dunia,risau dunia,akhirnya dunia masuk dalam hati. Bila dunia sudah masuk dalam hati maka tidak ada keyakinan tentang janji-janji Allah, seterusnya mudah untuk langgar perintah Allah.

Dakwah dan ingat-memperingati kena dibuat pada semua orang walau siapa pun dia. Soal “dia” nak dengar atau tidak itu perkara lain. Itu urusan “dia” dengan Allah kita hanya bertanggung jawab untuk tunaikan hak mereka untuk diberi peringatan, selebihnya itu kerja Allah. Sekurang-kurangnya adalah jawapan yang kita boleh berikan apabila ditanya Allah di mahsyar atau apabila kita dituntut nanti di padang Mahsyar yang huru-hara dan masing-masing mahu menyalahkan orang lain.

“ Ya Allah, di dunia dulu,si polan selalu ulang-alik ke masjid dan lalu depan rumah aku, tetapi dia tak ajak pun aku ke masjid,sekarang adakah adil aku diazab sedang dia masuk syurga..??” Inilah salah satu dakwaan dan tuntutan terhadap kita nanti dan apakah jawapan yang bakal kita bagi apabila kita tidak jumpa mereka dan tunaikan Hak mereka untuk diberi peringatan? Marilah saya dan tuan-tuan fikirkan dan renungkan bersama-sama. Kiamat pasti akan terjadi, dan kita pasti akan dihimpunkan di Mahsyar untuk disoal tentang agama dan tanggung jawab terhadap agama. Persoalannya adakah saya dan tuan-tuan telah bersedia?

No comments:

Post a Comment

JAZAKALLAH KERANA SUDI ZIARAH DAN BAGI KOMEN, INSYALLAH KALAU ADA KELAPANGAN SAYA AKAN BALAS KOMEN TUAN-TUAN.SILA TINGGALKAN E-MAIL / WEBSITE, INSYALLAH.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails